mutakhir

'Ayah ada ajak ikut tembak gajah...'

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

“AYAH ajak buru gajah liar tapi saya tidak ikut kerana ada latihan futsal," kata Muhammad Imran Khasimi Kamarul Zaman, 22.

Bapa Muhammad Imran, Kamarul Zaman Mat Ali, 58, yang juga pekebun meninggal dunia selepas terkena tembakan ketika menyertai operasi menghalau gajah liar di kebun sawit di Kampung Pelong, di Permaisuri, malam semalam.

Imran berkat, kali terakhir dia berjumpa arwah ayahnya, jam 9.08 malam.

Ketika itu, ayahnya mahu pergi semula ke lokasi menghalau gajah yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumahnya.

Kamarul Zaman bertindak sebagai jurupandu arah bersama empat pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Besut.

"Ayah ada ajak saya ikut sama operasi itu, tetapi kebetulan semalam ada latihan futsal... saya terpaksa tolak (ajakan arwah).

"Jika diikutkan, saya kerap ikut ayah bersama anggota PERHILITAN menghalau gajah sejak dua tahun lalu sekiranya ada kelapangan," katanya ketika ditemui di unit forensik Hospital Setiu, hari ini.

Katanya, arwah ayahnya sangat aktif secara sukarela menyertai operasi bersama PERHILITAN, sejak lebih 30 tahun lalu.

Menurutnya, ia kerana hidupan liar itu kerap menceroboh kebun kelapa sawit milik keluarganya.

"Kebun ayah seluas kira-kira enam hektar turut ditanam pisang kerap dimasuki gajah liar kerana kedudukan kawasan kebun berhampiran hutan.

"Jika diikutkan operasi memburu dan menghalau gajah ini sudah dilakukan sejak beberapa hari selepas kehadiran haiwan itu mula dikesan tiga hari lalu.

"Ayah juga menjadi tempat aduan dan rujukan orang kampung sekiranya ada kes seperti itu kerana rapat dengan pihak PERHILITAN selain memiliki lesen serta mempunyai senapang sendiri kerana pernah berkhidmat sebagai anggota RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia)," katanya.

Katanya, berbanding sebelum ini, ayahnya menunjukkan sedikit kelainan apabila lebih bersemangat untuk menyertai operasi.

"Mungkin ayah agak geram kerana tahun ini sahaja lebih 10 kali gajah masuk ke kawasan tanaman penduduk dan terpaksa menanggung kerugian kerana tanaman rosak walaupun sudah ada pagar elektrik yang diletakkan di sepanjang kawasan itu.

"Saya masih trauma dengan kejadian yang menimpa ayah dan mungkin dalam waktu terdekat tidak bersedia menyertai sebarang operasi memburu dan menghalau gajah seperti dilakukan sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, mangsa bersama anggota PERHILITAN menaiki pacuan empat roda Hilux jabatan itu ketika operasi.

"Kejadian dipercayai berlaku sewaktu mereka dalam perjalanan memburu gajah liar yang sudah ditembak dengan pelali.

"Ketika itu mereka bertembung dengan babi hutan dan sempat berhenti seketika untuk menembak haiwan terbabit sebelum menyambung perjalanan," katanya.

Zulkifli berkata, pegawai PERHILITAN yang menembak babi itu kemudiannya menyandarkan senapang jenis Baretta Auto Loaded pada bahagian tempat duduk belakang bersebelahan dengannya.

"Pemandu dan seorang pegawai berada di bahagian depan sementara mangsa berdiri di bahagian belakang kabin bersama seorang lagi pegawai PERHILITAN.

"Selang beberapa minit Hilux bergerak secara tiba-tiba, senapang yang berisi peluru penabur itu meletup menembusi cermin belakang dan terkena mangsa,” katanya.

Mangsa meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Setiu.

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 7:13pm
d