mutakhir

Hanya seminit larikan RM300,000

Oleh Norrasyidah Arshad

KURANG 60 saat, tiga lelaki berjaya melarikan wang tunai RM300,000 selepas menyamun van syarikat keselamatan di hadapan sebuah bank di Kapar, Klang, hari ini.

Dalam kejadian 11.15 pagi itu, saksi mendakwa, dua lelaki yang memakai topi keledar sudah berlegar-legar di kawasan bank terbabit sebelum kejadian.

Katanya, tidak lama kemudian, van syarikat keselamatan dinaiki tiga pekerja sampai di situ untuk membawa guni dipercayai berisi wang tunai ke dalam bank berkenaan.

“Ketika itu, dua lelaki bertopi keledar itu menghampiri van terbabit dengan seorang di bahagian tepi manakala seorang di belakang.

“Pada masa sama, seorang pekerja syarikat keselamatan mahu membuka van terbabit sambil diawasi seorang lagi pekerja yang memegang senapang.

“Lelaki memakai topi keledar itu kemudian menghampiri pekerja syarikat keselamatan terbabit sambil mengacukan sepucuk pistol sebelum mengambil satu guni berisi wang,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Saksi berkata, pada masa sama, sebuah kereta Proton Wira berwarna putih menghampiri lokasi sebelum dua perompak terbabit menaikinya dan melarikan diri.

“Kejadian berlaku dengan pantas. Orang awam yang berada di sekitar kawasan itu tergamam melihatnya.

“Saya tidak ada mendengar sebarang bunyi tembakan dan rasanya semua pekerja syarikat keselamatan itu tidak cedera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan, mengesahkan kejadian berkenaan.

“Kejadian berlaku kira-kita 10 meter dari bank terbabit dan suspek turut melarikan senjata api milik pekerja syarikat keselamatan itu.

“Polis kini sedang menjalankan operasi memburu suspek,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 7:28pm
d