mutakhir

'Tergamak kau rotan...'

Oleh Rizalman Hammim

POLIS menahan kelindan lori berusia 27 tahun selepas disyaki mendera anak tirinya yang berusia enam tahun di Taman Perumahan Lima Kedai, Gelang Patah, Iskandar Puteri, kira-kira jam 9.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, suspek ditahan susulan dua laporan yang dibuat oleh pengasuh dan guru tadika kanak-kanak terbabit pada hari Isnin dan Selasa lalu.

Beliau berkata, ia selepas mereka mendapati kesan lebam di pipi, bibir dan belakang tubuh mangsa.

Katanya, polis turut merampas sebatang rotan yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

"Mangsa sebelum itu memaklumkan kepada pengasuhnya bahawa bapa tirinya merotan dan menamparnya.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku merotan, menampar dan memukul anak tirinya disebabkan mangsa degil dan tidak pandai dalam pelajaran, malah perbuatan itu dipercayai berlaku sejak Oktober tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, hari ini.

Noor Hashim berkata, suspek dikatakan berkahwin dengan ibu mangsa sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata, mangsa kini di bawah penjagaan ibunya yang berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pembantu klinik di Gelang Patah.

Katanya, suspek ditahan reman sehingga 24 April untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 7:38pm
d