mutakhir

'Kami reda, biarpun berduka... [UPDATE]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“BIARPUN sedih, saya bersyukur kerana jasad anak saya ditemui,” kata Othman Mohamad, 68, bapa kepada penunggang motosikal yang ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Changileh, Jitra, semalam.

Mangsa, Mohamad Amir Othman, 32, ditemui di Kampung Banggol Bongor, berhampiran Megat Dewa, pada petang.

Menurut Othman, dia menerima kejadian yang menimpa anak bongsunya itu.

“Saya reda dengan kejadian ini,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Mohamad Amir dilaporkan hilang ketika

dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di sebuah kilang berhampiran Tunjang ke rumahnya di Kampung Kepala Batu, Wang Tepus, semalam.

Motosikal yang ditungganginya dipercayai terbabas menyebabkan mangsa tercampak ke dalam sungai itu, manakala motosikalnya ditemui di tepi sungai berkenaan.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat dilakukan pasukan bomba dari BBP Jitra dan Sungai Petani dan dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) JItra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, mayat mangsa ditemui terapung kira-kira 15 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui anggota dari BBP Jitra yang melakukan rondaan di sekitar kawasan pencarian.

"Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk bedah siasat.

Difahamkan, Mohamad Amir yang juga duda dan mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun itu tinggal bersama Othman di Kampung Kepala Batu, Wang Tepus, manakala anaknya tinggal bersama bekas isteri.

Berita berkaitan

Dah jumpa topi keledar, kasut

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 9:19pm
d