mutakhir

Perjanjian babit nilai RM18.4 bilion

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Kuala Lumpur: Edisi ke-16 Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) serta Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2018 menyaksikan 10 surat penerimaan (LOA), lapan kontrak, enam ‘offset’, tiga memorandum persefahaman (MoU) dan tiga surat hasrat (LOI) dimeterai Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM18.4 bilion.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia menunjukkan kerajaan tidak pernah memandang rendah atau berkompromi mengenai soal pertahanan dan keselamatan negara.

Katanya, dalam era dunia tanpa sempadan kini, ia memerlukan sistem pertahanan negara berada pada tahap optimum.

“Menerusi perjanjian dimeterai, MINDEF bukan saja boleh mendapatkan teknologi terkini dari beberapa negara sebaliknya ia memberikan manfaat kepada pemain industri pertahanan tempatan khususnya dalam bidang kejuruteraan ketenteraan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pengumuman DSA dan NATSEC 2020 di MITEC, di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam konteks jangka masa panjang ia mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap pemilikan senjata dari luar sebaliknya membolehkan Malaysia menghasilkan kelengkapan persenjataan sendiri.

“Perjanjian yang kita tandatangani menjadi simbol kerjasama berterusan sekali gus membolehkan kita membina sendiri keupayaan pertahanan negara,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, soal pertahanan dan keselamatan negara melebihi pertimbangan politik serta ia tidak boleh diambil mudah.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 3:02am
d