mutakhir

Lelaki parah dihempap balak

Oleh HM Digital

Kuala Terengganu: Seorang bapa tujuh anak bertarung nyawa akibat dihempap balak di kilang papan di Kampung Paya Berenjut, Kemaman, Isnin lalu.

Kejadian jam 4 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Wan Mohamad Malikin Wan Ibrahim, 47, melakukan kerja pemindahan muatan balak berdekatan treler dipandunya.

Pemandu lori itu parah di kepala dan badan akibat dihempap balak yang terjatuh daripada muatan treler sebelum dia dihantar ke Hospital Kemaman.

Isterinya, Jama’yah Sulaiman, 48, berkata, dia tahu insiden itu ketika membuat panggilan kepada suaminya apabila dia tidak pulang ke rumah seperti biasa.

Menurutnya, dia tergamam sebaik diberitahu pekerja kilang berkenaan yang menyatakan suaminya parah dihempap balak di tempat kerja dan sedang bertarung nyawa.

Katanya, dia dan ahli keluarga bergegas ke hospital selepas dihubungi doktor yang meminta datang segera ke Hospital Kemaman.

“Berikutan kecederaan itu, suami dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya, di sini, kelmarin.

Suri rumah itu berkata, suaminya patah tulang belakang, pendarahan di anggota badan dan kepala serta perlu menjalani pembedahan segera dengan kos lebih RM10,000.

“Saya dan keluarga buntu memikirkan keadaannya lebih-lebih dengan kos pembedahan yang di luar kemampuan kami.

“Saya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami, tambahan pula ada empat anak bersekolah,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 3:26am
d