mutakhir

Power lah abang bomba...

Oleh Shahrinnahar Latib

PASUKAN anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan di Jalan Bukit Ubi, Kuantan, menangkap seekor ular sawa sepanjang kira-kira tujuh meter di padang tembak, Jalan Penor-Ubai, di sini, awal pagi tadi.

Ular seberat lebih 100 kilogram itu dipercayai mengalami kecederaan selepas dilanggar kenderaan ketika melintas jalan berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harun berkata, kelibat ular sawa itu disedari oleh pengguna jalan raya yang lain sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, kira-kira 2 pagi.

"Sepasukan lapan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan dan apabila sampai memang terdapat ular sawa sedang menjalar di padang berdekatan jalan raya berkenaan, namun ia dalam keadaan lemah.

"Pada mulanya anggota ingin menghalau ular berkenaan ke dalam hutan berhampiran, namun disebabkan ia mengalami kecederaan, kita terpaksa membawanya pulang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba terpaksa mengambil masa hampir satu jam untuk menangkap dan membawa pulang ular berkenaan kerana ia terlalu besar serta agak agresif walaupun mengalami kecederaan.

"Selepas dibawa pulang, kita menyerahkan haiwan berkenaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pagi ini," katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 1:10pm
d