mutakhir

Eh kita nak tolong dia, dia lari pula...

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

PASUKAN anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai mengambil masa kira-kira 30 minit menyelamatkan kucing yang terperangkap di ketinggian 10 meter di Bangunan Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, semalam.

Terdahulu, pengawal keselamatan USIM yang menyedari haiwan itu terperangkap, cuba menyelamatkannya dengan bantuan beberapa kakitangan, namun usaha mereka gagal sebelum menghubungi bomba bagi meminta bantuan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fauzi Shamir berkata, sebuah jentera bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 5.30 petang.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati kucing itu berada di bahagian belakang bangunan dan sebaik anggota ingin menyelamatkan dengan menggunakan tangga, kucing itu berlari di bahagian hadapan.

"Apabila kami ke bahagian hadapan pula, kucing itu berlari semula di bahagian belakang sekali gus menyukarkan operasi menyelamat haiwan itu.

"Pihak kami terpaksa menggunakan galah bagi mengepungnya sebelum berjaya membawa turun 30 minit kemudian dalam keadaan selamat dan dilepaskan kedai makan berhampiran," katanya.

Katanya, walaupun dihubungi untuk menyelamatkan seekor kucing, pihaknya tetap melaksanakan tanggungjawab selain menganggap itu adalah salah satu tugas membantu masyarakat.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 3:08pm
d