mutakhir

'Hati kami dah lega tapi...'

Oleh Syaherah Mustafa

“SAYA tak sangka mimpi kakak mengenai abang yang dikejar orang malam tadi, adalah petanda dia pergi buat selamanya,” kata Nur Syakila Amyra Mohd Nazri, adik kepada Mohd Aliff Imran, yang maut dalam kemalangan pada 6.15 pagi tadi.

Mohd Aliff, 22, yang juga anak sulung daripada enam beradik menunggang skuter Honda Click meninggal dunia di tempat kejadian di Gual Tinggi, Jalan Pasir Mas - Rantau Panjang, Rantau Panjang.

Nur Syakila, 19, berkata kakak keduanya bermimpi mengenai Mohd Aliff pada 4 pagi lalu menelefon arwah yang bekerja sebagai peniaga pakaian di Kota Bharu supaya segera pulang kerana bimbang dia ditimpa kemalangan.

Katanya, mereka sekeluarga lega kerana mangsa pulang ke rumah di Taman Rantau Mas, Rantau Panjhang, dua jam selepas dihubungi, namun keluar semula untuk bersarapan bersama rakannya.

“Pada 6.30 pagi, kami terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada penduduk kampung memberitahu abang terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Saya tak sangka, kami sekeluarga baru beberapa minit berasa lega melihat dia ada di rumah, tapi kemudian dapat berita dia sudah meninggal dunia pula.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian ini walaupun rasa kehilangannya memandangkan dia sangat rajin dan baik dengan adik serta keluarga," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pasir Mas.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Rantau Panjang selepas solat Zohor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai melanggar tiang elektrik dalam kejadian terbabit.

Katanya, akibat itu mangsa parah di kepala sebelum dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 3:09pm
d