mutakhir

Dah ada tarikh, Pengerusi BN negeri umum calon [METROTV]

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Shamsul Kamal Amaruddin

“TARIKH sesuai sudah diberi kepada semua Pengerusi BN (Barisan Nasional) oleh kepimpinan tertinggi parti untuk mengumumkan calon kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di negeri masing-masing,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak memberi kuasa kepada semua Pengerusi BN negeri mengumumkan calon.

“Saya yakin keputusan PM (Perdana Menteri) selaku Pengerusi BN untuk memberikan kuasa kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri yang menjadi Pengerusi BN negeri-negeri untuk mengumumkan calon Parlimen dan DUN bagi negeri-negeri yang berkenaan.

“Bagi Perak sendiri, kita serahkan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) mengumumkannya.

“Kami telah menyerahkan tarikh yang sesuai kepada beliau, jadi kita serahkan kepada beliau,” katanya pada sidang media selepas melawat bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit 4 di Bagan Datuk hari ini.

Turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis dan penyandang kerusi DUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Beliau ditanya tarikh pengumuman calon BN serta khabar angin sejak beberapa hari lalu mengatakan Perdana Menteri akan menyerahkan watikah pencalonan kepada calon BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) secara berperingkat pada Jumaat, Sabtu atau Ahad ini.

Pada Mac lalu, Najib dilaporkan berkata, BN akan memecahkan tradisi dengan mengumumkan senarai calon PRU lebih awal daripada biasa.

Mengulas lanjut khabar angin berkenaan, Ahmad Zahid berkata, keputusan berkenaan sudah dibuat.

“Khabar angin ini biasa la, jangan lah tulis tentang berita yang berasaskan kepada khabar angin.

“Saya bercakap ini sebagai Timbalan Pengerusi BN, ini bukannya khabar angin, ni khabar betul,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 3:47pm
d