mutakhir

Salahudin ajak Mohamed Khaled debat

Oleh Badrul Kamal Zakaria

TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Salahuddin Ayub mencabar Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berdebat berhubung isu rasuah hartanah di Johor dan keadaan pegawainya yang dikatakan hidup di luar kemampuan.

Menurutnya, isu itu bukan serangan peribadi sebaliknya semua rakyat perlu tahu mengenai isu rasuah pasukan Mohamed Khaled ketika dia menjadi Menteri Besar.

Katanya, kempen pilihan raya adalah satu medan terbaik untuknya berdebat dengan Menteri Besar Johor itu.

“Mohamed Khaled menyebut saya ada menyerang dia dalam isu rasuah hartanah negeri Johor dan pegawai keliling dia yang saya boleh buktikan hidup di luar kemampuan.

“Itu bukan serangan peribadi tetapi saya rasa rakyat perlu tahu mengenai rasuah yang dilakukan ‘Team Khaled Nordin’ ketika dia menjadi Menteri Besar Johor.

“Jadi, saya cabar dia kalau tidak keberatan untuk berdebat, saya rasa kempen pilihan raya adalah satu medan terbaik untuk saya debatkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pakatan pembangkang Johor di Taman Pagoh Jaya di Muar, hari ini.

Turut hadir, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang digantung pendaftaran sementara yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi PAN Johor, Aminolhuda Hassan dan Ahli Parlimen Kluang dari DAP, Liew Chin Tong.

Salahuddin berkata, debat itu akan membolehkan rakyat faham isu berkenaan dan apa yang dimaksudkan dengan rasuah ‘Team Khaled Nordin’.

Sementara itu, Salahuddin yang juga calon pakatan pembangkang bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram meminta Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga penyandang kerusi Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed supaya menjaga adab dan tertib.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 4:37pm
d