mutakhir

Dalam perut ada kambing

Oleh Safuri Kamarudin

Kehilangan haiwan ternakan penduduk sejak kebelakangan ini akhirnya terjawab apabila seekor ular sawa batik ditangkap ketika kekenyangan selepas dipercayai menelan kambing di Kampung Belukar Semang, Klian Intan, Pengkalan Hulu, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, penduduk yang pergi ke kebun ternampak kelibat ular berkenaan di dalam semak.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pengkalan Hulu, Kapten (PA) Yusuf Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.16 tengah hari dan sampai ke lokasi 30 minit kemudian.

Beliau berkata, empat anggota mendapati seekor ular sawa batik sepanjang lima meter dan seberat 120 kilogram (kg) kekenyangan dipercayai selepas menelan kambing penduduk.

“Anggota APM dan penduduk kampung turut membantu menarik keluar ular itu dari dalam semak ke kawasan lapang.

“Kami mengambil masa selama 30 minit untuk membawa keluar ular sawa itu ke kawasan lapang sebelum menggunakan kenderaan pacuan empat roda kerana tidak mampu diusung,” katanya.

Yusuf berkata, banyak haiwan ternakan penduduk hilang sebelum ini apabila keluar ke hutan untuk mencari makanan.

Beliau berkata, beberapa laporan mengenai haiwan ternakan penduduk hilang dibuat dan kini terjawab apabila ular sawa itu ditangkap.

“Ular sawa berkenaan akan dilepaskan ke habitatnya supaya lebih selamat dan bimbang dibunuh oleh pemburu atau penduduk kampung yang masuk ke hutan berdekatan kampung.

“Saya menasihatkan orang awam berhati-hati sekiranya terserempak dengan ular berbisa dan melaporkan kepada APM,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 5:17pm
d