mutakhir

Nafi salah guna harta, sorok RM4.93 juta [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

SURI rumah mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas sembilan pertuduhan menyalahgunakan harta dan menyembunyikan wang berjumlah RM4.93 juta, bagi pembelian sebidang lot tanah di Kuala Lumpur, tahun lalu.

Tertuduh, Chang Lin San, 34, membuat pengakuan itu sebaik semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Ibu anak satu itu yang ditemani adik iparnya dilihat tenang di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding berkenaan berlangsung.

Di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham, Chang didakwa menyalahgunakan harta dengan mengeluarkan wang keseluruhannya berjumlah RM1,555,168.08 milik Ong Khoon Hong daripada akaun CIMB Bank dan Hong Leong Bank bagi pembelian lot tanah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di One South Mall, Serdang Perdana, Selangor antara 22 Disember 2017 dan 12 Januari lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Manakala di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim, wanita itu didakwa dengan lapan pertuduhan iaitu menolong menyembunyikan harta berjumlah RM3,378,191 milik lapan syarikat dengan memasukkan wang itu ke dalam akaun CIMB Bank dan Hong Leong Islamic Bank miliknya antara Ogos dan Oktober 2017.

Bagi setiap kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik dan Abu Arsalnaa Zainal Abidin masing-masing menawarkan jaminan RM100,000 bagi satu pertuduhan dan RM24,000 (lapan pertuduhan) dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh Lim Poi Ying memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai anak berusia empat tahun selain memberikan kerjasama baik dengan pihak polis.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM66,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 21 Mei depan untuk sebutan semula.

Selain itu, mahkamah mengarahkan supaya pasport diserahkan sehingga kes selesai.

Difahamkan, salah seorang mangsa iaitu Ong memberikan wang kepada suami tertuduh, namun lelaki itu sudah melarikan ke China.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 5:36pm
d