mutakhir

Jiwa kental petani OKU

Oleh Balqis Jazimah Zahari

BIARPUN lumpuh kedua belah kaki akibat kemalangan dan terpaksa berkerusi roda, ia tidak mematahkan semangat Shahrul Nizam Zakaria, 35, untuk mengusahakan sebuah ladang buah rock melon atau tembikai wangi sehingga berjaya dan memperolehi pulangan lumayan.

Shahrul Nizam adalah satu-satunya pengusaha orang kurang upaya (OKU) bagi program Ladang Kontrak di bawah kendalian Lembaga Pemasaran

Pertanian Persekutuan (FAMA) di Perak.

Dia yang ditemui pemberita ketika Program Memetik Buah Rock Melon Bersama Media anjuran FAMA Perak berkata, dua kakinya lumpuh akibat kemalangan jalan raya 15 tahun.

"Memang diri saya banyak kekurangan, namun paling penting adalah semangat dan itu membuatkan saya lebih kuat untuk mengusahakan ladang ini," katanya ketika ditemui di ladangnya di Kampung Bekor di Kuala Kangsar, hari ini.

Program berkenaan turut disertai Timbalan Pengarah FAMA Perak, Mohammad Fatimie Mohd Puzi dan Pengerusi FAMA Daerah Kuala Kangsar, Abdullah Amin Abd Ghani.

Shahrul Nizam berkata, idea mengusahakan ladang buah berkenaan tercetus selepas melihat ramai rakannya yang sudah berjaya.

Katanya, dia bersama isteri, Norzila Mohd Ali, 34, bergiat secara lebih aktif mengusahakan tanaman rock melon selepas menyertai program Ladang Kontrak bersama FAMA pada 2013.

"Saya memulakan tanaman sendiri secara kecil-kecilan dengan belajar sendiri cara untuk mengusahakan tanaman melalui Internet dan mengikuti kursus tanaman serta meninjau ke ladang lain yang sudah berjaya.

"Peringkat permulaan, saya pernah kerugian hampir RM5,000, namun saya tetap tidak berputus asa dan kini ladang seluas 0.2 hektar yang diusahakan mampu mengeluarkan hasil dua hingga tiga tan buah, sekali petik," katanya.

Sementara itu, Mohammad Fatimie berkata, FAMA Perak memberi jaminan rock melon yang dipasarkan di Perak selamat dan bebas penyakit atau wabak seperti yang berlaku di Australia dan Singapura yang mengakibatkan lima kematian baru-baru ini.

"FAMA jamin rock melon di Perak tiada jangkitan penyakit dan orang ramai tidak perlu bimbang.

"Kita membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berkala, sekiranya terdapat kawasan yang terdapat penyakit atau masalah lain pegawai kami akan terus mengambil tindakan segera," katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 5:59pm
d