mutakhir

[UPDATE] Demam, cirit-birit sebelum ajal

Oleh Iskandar Shah Mohamed

TAHANAN lelaki yang meninggal dunia selepas ditemui pengsan di Lokap Berpusat Shah Alam di sini, Selasa lalu, dipercayai mengalami demam, sakit perut, cirit-birit dan kurang selera makan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa lelaki berusia 38 tahun itu mempunyai sejarah sakit berkenaan sejak empat hari lalu.

"Pada malam kejadian, dia tiba-tiba tidak sedarkan diri dan segera dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam (HSAS).

"Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati lelaki itu meninggal dunia, namun punca kematiannya belum diketahui dan masih menunggu hasil laporan bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

NSTP melaporkan mendiang S Thababalan yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ditemui pengsan di dalam sel oleh anggota bertugas pada 8.20 malam dan kemudian dibawa ke HSAS.

Namun, tahanan itu disahkan meninggal dunia 9.05 malam hari sama selepas bantuan rawatan tidak berjaya.

Adik mangsa, S Vijayanand, 36, ketika ditemui sebelum ini memaklumkan keluarga melantik doktor yang turut menjalankan bedah siasat ke atas mendiang.

Menurut Noor Hisham, mendiang ditahan sejak 29 Mac lalu dan terdapat 10 kes yang turut mengadu tidak sihat dengan pelbagai gejala di lokap berkenaan.

"Sembilan daripadanya mempunyai gejala ringan seperti batuk dan selsema, manakala satu kes gejala sakit perut dan cirit-birit.

"Sebanyak tujuh kes sudah diberikan rawatan di lokap itu oleh pasukan perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, manakala tiga kes dirujuk ke Jabatan Kecemasan HSAS untuk rawatan dan seterusnya dibenarkan pulang," katanya.

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Selangor sedang giat menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan di Lokap Berpusat berkenaan.

"Ia antaranya aktiviti penyahjangkitan di kawasan persekitaran sel dan lokap, pengasingan antara kes bergejala daripada orang yang sihat sehingga semua mereka sembuh, dan pemantauan kesihatan harian terhadap warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam serta tahanan.

"Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, situasi di dalam lokap itu didapati bersih dan terkawal," katanya.

Kata Noor Hisham, Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi kejadian itu dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Berita berkaitan:

Tahanan SOSMA pengsan sebelum ajal [METROTV]

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 6:01pm
d