mutakhir

Sepak isteri kerap minta cerai

Oleh Sarah Zulkifli

LELAKI dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, selepas mengaku bersalah menyepak paha dan mengugut isterinya kerana sikap wanita itu yang sering meminta cerai serta berkaitan masalah kewangan.

Majistret Nurshahira Abdul Salim menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Malek Mohd Ghani, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Bagi pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan manakala bagi ugutan jenayah pula, dia dihukum tiga bulan penjara.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 15 April lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Malek yang bekerja sebagai penghantar surat didakwa dengan sengaja mendatang kecederaan terhadap isterinya, Maznah Ramli, 26, dengan menyepak pada bahagian paha kirinya.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap isterinya dengan berkata 'aku tengah panaskan minyak dan aku akan buat engkau menyesal seumur hidup'.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Desa Mentari 3, Jalan 2D/1, Taman Medan, Petaling Jaya, pada 11.30 malam 14 April lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana perlu menanggung ibu bapanya yang tidak bekerja.

“Pergaduhan berlaku kerana kami ada masalah duit selain isteri saya selalu minta cerai,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin mohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

“Jangan gunakan kekerasan jenayah dalam pertengkaran dan ugutan jenayah untuk timbulkan rasa takut terhadap isteri dan suami sebenarnya bertindak sebagai pelindung,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu iaitu isteri tertuduh berada di rumah mereka berlaku perselisihan faham berhubung tidak cukup wang.

Akibat pertelingkahan itu, tertuduh mencederakan isteri di bahagian paha kiri dengan menyepaknya sebanyak dua kali.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 6:39pm
d