mutakhir

Berlakon pura-pura tak salah...[METROTV]

Oleh Mohd Hasbi Sidek

BERLAGAK selamba seolah-olah tidak bersalah sebelum perlahan-lahan melarikan diri. Ada juga yang menyorok di sebalik kotak barang mentah.

Itu antara taktik warga asing pelbagai negara bagi mengelak daripada ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menjalakan Ops Bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, taktik mereka tidak berjaya apabila pemeriksaan rambang terhadap lebih 600 warga asing di situ mendapati, 340 daripada mereka melanggar peraturan imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah salah guna pas, tinggal lebih masa dan tiada permit kerja.

"Kita juga mengesan majikan yang disyaki melindungi dan mengambil pekerja asing tanpa permit, siasatan akan dijalankan terhadap majikan terbabit.

"Semua pendatang tanpa izin yang didapati 'kosong' akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Bukit Jalil," katanya ketika ditemui sejurus operasi, petang tadi.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz yang turut menyertai operasi selama dua jam itu berkata, pihaknya memeriksa 70 rumah kedai di Jalan 2, Pasar Borong Kuala Lumpur yang didiami warga asing.

"Kami mendapati kebanyakan rumah berkenaan yang disewa oleh warga asing membuat penyambungan haram dan pihak kami mengambil tindakan merobohkan struktur binaan haram berkenaan.

"Mereka menyewa beramai-ramai di premis berkenaan. Tindakan diambil mengikut peruntukan Seksyen 79 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana membuat penyambungan haram.

"Pihak kami akan membuat siasatan lanjut terhadap pemilik premis," katanya.

Ops Bersepadu itu dijalankan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama JIM.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 8:39pm
d