mutakhir

Kod QR elak pembeli harumanis ditipu

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

JABATAN Pertanian Perlis perkenal kod maklum balas pantas (Kod QR) pada mangga harumanis bagi mengelak pengguna ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarah Jabatan Pertanian Perlis, Zulkefli Amin Mat Jusoh berkata, Kod QR itu akan ditampal pada mangga harumanis peladang seliaan pihaknya.

“Pada peringkat permulaan, seramai 30 daripada 90 peladang akan menerima pelekat Kod QR untuk ditampal pada mangga harumanis mereka.

“Kod QR ini membantu pengguna agar mereka tidak tertipu dengan peniaga yang tidak bertanggungjawab ketika membeli buah berkenaan,” katanya pada Majlis Pelancaran Festival Mangga Harumanis Perlis 2018 di Pusat Kecemerlangan Mempelam Bukit Bintang, Kangar, hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke majlis bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil bagi merasmikan majlis berkenaan. Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Zulkefli berkata, mangga harumanis Perlis adalah produk pertama ditampalkan Kod QR dalam negara ini.

“Pengguna boleh memuatnaik pengimbas Kod QR di aplikasi Google Play Store.

“Pada masa akan datang, sekiranya pengguna ingin mengetahui buah terbabit dipetik dari ladang pengusaha seliaan jabatan, mereka boleh mengimbas Kod QR pada buah dan secara automatik maklumat mengenai buah terbabit muncul di skrin telefon pintar mereka,” katanya.

Beliau berkata, melalui pengenalan Kod QR itu, peniaga tidak dapat menipu pembeli ketika berurus niaga.

Menurutnya, sekiranya peniaga menampal Kod QR palsu, pengimbas pada telefon pintar mereka akan mengeluarkan amaran bahawa Kod QR itu tidak benar.

“Sekiranya Kod QR itu memang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian negeri, secara automatik maklumat mengenai buah terbabit akan muncul termasuklah gambar pengusaha harumanis berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 8:53pm
d