mutakhir

Padah usik meter elektrik

Oleh Mahaizura Abd Malik

MAHKAMAH Sesyen Shah Alam, hari ini, membenarkan tuntutan bil terkurang caj Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM290,230.89 terhadap Cathay Resources Sdn Bhd kerana pengusikan pepasangan meter TNB yang berfungsi merekodkan penggunaan elektrik di kilang
syarikat itu.

Hakim Noor Ruzilawati Mohd Noor membenarkan tuntutan TNB selaku plaintif terhadap defendan dengan kos sebanyak RM10,000.

Tuntutan yang dibuat itu adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 38 (3) dan (5) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Dalam penghakiman itu, TNB berjaya membuktikan berlaku pengusikan pada pepasangan meter di kilang membuat peralatan keselamatan terbabit yang beralamat di Taman Perindustrian Subang Hi-Tech, Shah Alam.

Pemeriksaan TNB mendapati pendawaian litar arus S1 dan fasa merah dari alat ubah arus (CT) ke blok terminal ujian (TTB) dalam keadaan tidak bersambung pada kaki TTB.

Sepanjang perbicaraan, TNB diwakili peguam Megat Muslehuddin Megat Radzuan dan dibantu Pelatih Dalam Kamar, Muhammad Safwan Sofruddin dari Abu Bakar & Yong yang mengemukakan writ saman pada 13 Julai tahun lalu.

Defendan pula diwakili peguam Loo Chay Meng dan Siti Fariza Faris@Paris dari Tetuan Abu Hassan & Associates.

TNB memanggil empat saksi manakala defendan mengemukakan seorang saksi untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Perbicaraan penuh terhadap kes berkenaan diadakan selama dua hari pada 12 dan 13 Februari lalu.

Dalam penghakiman itu, TNB berjaya membuktikan wujudnya pengusikan berkenaan yang membuatkan pihaknya kerugian hasil bermula 1 Mei 2014 hingga 10 Mac 2016.

TNB sebelum ini turut memenangi kes sama berjumlah RM13.8 juta yang dibicarakan di mahkamah berasingan seluruh negara sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 9:06pm
d