mutakhir

'Malaysia tidak akan muflis'

Oleh Luqman Arif Abdul Karim

Kuala Lumpur: “Malaysia tidak akan muflis seperti diperkatakan Tun (Dr) Mahathir (Mohamad), ia perkara sebenar kerana saya sendiri yang mencari jawapan terhadap persoalan ini.”

Itu tegas veteran DAP, Dr Tan Seng Giaw yang turut menyelar kem pembangkang yang secara bertali arus melemparkan tuduhan kononnya Malaysia bakal muflis.

“Ketika menghadiri forum Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tahun lalu, saya menerima laporan mengenai Malaysia dan selepas membacanya, kita berada pada kedudukan selepas Singapura, malah antara tertinggi di rantau Asia Tenggara.

“Perkara sama diperkatakan menerusi persidangan IMF bulan lalu dan saya sengaja ajukan soalan pada mereka, sama ada skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad) akan menyebabkan Malaysia muflis?

“Mereka jawab, there is no such thing (tiada perkara seperti itu). Ini adalah organisasi antarabangsa yang tidak mempunyai kebergantungan dengan Malaysia. Adakah IMF cuba menipu kita?” katanya seperti dilaporkan portal beritadaily.com, semalam.

Anak jati Kota Bharu, Kelantan itu menjelaskan, kenyataannya membidas ‘rakan’ sendiri kerana hanya ingin menyatakan kebenaran tanpa sebarang agenda untuk berpaling tadah terhadap parti pembangkang.

Beliau yang juga bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sejak kebelakangan ini dihujani kritikan selepas mengeluarkan kenyataan bahawa tiada bukti secukupnya untuk mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan skandal 1MDB.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Kepong selama lapan penggal itu berkata, penyiasatan sepatutnya dijalankan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim dan pihak berkaitan.

Dr Tan turut mempersoalkan rasional dan punca di sebalik tindakan ahli DAP yang melabel dirinya sebagai ‘anjing suruhan’ serta pengkhianat parti.

“Sekarang panggil saya running dog, dalam bahasa Melayu anjing suruhan. Apa salah saya? Hanya kerana berkata benar? Mereka kata saya terima duit Najib, (oleh itu) mesti saya jutawan sekarang,” katanya dalam nada sindiran.

Beliau turut mendedahkan pernah meneliti laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB beberapa kali dan tidak menemui sebarang bukti bahawa Najib terbabit dalam skandal berkenaan.

“Apa yang kamu nak saya katakan? Bahawa Najib bersalah? Tolonglah. Bagaimana boleh kita kata seseorang itu bersalah sedangkan tiada bukti. Apa sudah jadi dengan prinsip ‘tidak bersalah sehingga terbukti bersalah’,” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 3:12am
d