mutakhir

'Inilah polisi pak pandir'

Oleh Mohd Farid Noh dan Hazwan Faisal Mohamad

Batu Pahat: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan pada 7 April lalu mendapat penilaian tinggi daripada badan penarafan antarabangsa sehingga menyebabkan kadar pertumbuhan negara disemak semula.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sejak pembentangan manifesto BN, tiga badan penarafan menyemak semula kadar pertumbuhan negara menjadi lebih positif.

“Antaranya, Bank Dunia sudah menyemak semula kadar pertumbuhan daripada 5.4 peratus kepada 5.6 peratus untuk Malaysia. JP Morgan dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) juga antara badan-badan yang lebih optimis mengenai pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Ini bererti bahawa manifesto kita ini mendapat penilaian yang tinggi, sebaliknya mereka tidak sebut sama sekali manifesto pembangkang, sebab tiada nilai dalam apa yang terkandung dalam manifesto mereka.

“Mengapa saya kata demikian? Kerana kalau mereka nak mansuhkan tol, mansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), beban hutang negara akan bertambah sebanyak RM430 bilion.

“Mengikut kajian Kementerian Kewangan, hutang negara kita akan (meningkat) menjadi RM1 trilion daripada hutang sekarang ini yang berada pada paras 50.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) (dan) akan melonjak kepada 80 peratus daripada KDNK.

“Apa kesannya? Antara kesan buruknya bursa saham akan jatuh, nilai mata wang kita akan terjejas. Apa akan terjadi? Contohnya Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan terjejas, amanah saham akan terjejas, rakyat akan terjejas kerana kita bergantung kepada bursa saham yang (ketika ini) semakin kukuh, stabil dan semakin meningkat susulan pengurusan ekonomi negara yang berhemah, pragmatik dan bertanggungjawab oleh kerajaan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2018 di Stadium Batu Pahat, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Mengulas lanjut, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, justeru ia bukan perkara main-main dan sesuatu yang boleh dijadikan bahan politik semata-mata mahu meraih undi.

“Kita tidak boleh bersifat populis, kalau mahu meraih sokongan rakyat sekali pun mestilah dalam ruang lingkup prinsip yang bertanggungjawab. We must be responsible (kita perlu bertanggungjawab).

“Sebab itulah kita fikir mahu hapuskan atau mensifarkan kadar GST, dua malam lalu saya tengok televisyen, ada seorang akauntan berkata kalau dihapuskan GST sekalipun apa jaminan harga barangan akan turun.

“Sebab harga barangan bukan dalam kawalan kerajaan, katanya tiada jaminan harga akan diturunkan. Sebaliknya (pembangkang) mahu perkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus, ini akan menokoktambah daripada harga sedia ada. Orang putih kata double jeopardy.

“Inilah polisi pak pandir pembangkang yang mana akan membawa kesan yang buruk kepada ekonomi dan menjejaskan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan PNB berjumlah RM700,000 kepada unit hemodialisis, Hospital Sultanah Nora Ismail di sini.

MSAM berlangsung bermula hari ini hingga 25 April ini.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 3:19am
d