mutakhir

Potensi pelawat jadi pempamer baru

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Kuala Lumpur: Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2018 yang melabuhkan tirainya semalam, mencapai kejayaan besar apabila menerima lebih 50,000 pelawat dari dalam serta luar negara.

Malah, kejayaan DSA edisi ke-16 ini dapat dilihat apabila lebih 50 peratus pempamer dari luar negara sudah menyatakan kesediaan awal untuk menyertai semula DSA dan NATSEC yang akan diadakan pada 2020.

Pengurus Besar DSA, Anita Jacobson ketika ditemui berkata, sepanjang empat hari berlangsungnya DSA dan NATSEC 2018, pihaknya bukan saja menerima banyak kunjungan daripada pempamer, malah daripada pemain industri luar negara yang datang melawat dan menyatakan minat menyertai DSA dan NATSEC 2020.

Katanya, semua pelawat termasuk pempamer memberi reaksi positif terhadap penganjuran DSA dan NATSEC yang disifatkan sebagai platform tepat untuk mereka memasarkan produk pertahanan serta keselamatan.

“Paling membanggakan adalah kita turut menerima kunjungan pelawat yang berpotensi menjadi pempamer pada masa depan.

“Dalam pertemuan itu, mereka sendiri mengakui DSA dan NATSEC tempat terbaik bagi mereka memasar produk dihasilkan berbeza dengan mana-mana program pameran pertahanan atau keselamatan lain yang pernah dianjurkan di seluruh dunia,” katanya.

Anita berkata, bagi edisi pameran DSA dan NATSEC akan datang, pihaknya akan memberi fokus untuk menarik kedatangan pemain industri pertahanan serta keselamatan dari Baharain dan Arab Saudi.

“Selain itu, kita kini merancang untuk meluaskan lagi penyertaan pemain industri berkenaan terutama dari Amerika Syarikat (AS), Eropah, China serta negara Asean lain,” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 3:32am
d