mutakhir

Pencuci kulit telur

Oleh Azahar Hashim

Kulim: Idea menghasilkan pencuci bahagian intim wanita yang dinamakan Scrub Away daripada kulit telur membawa tuah kepada sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah (SMKSB), di sini.

Lebih membanggakan hasil kreatif dan inovatif mereka merangkul Anugerah Pereka Cipta Muda pada program Ekspo Merekacipta, Inovasi dan Teknologi SIRIM (SI2TE) 2018.

Ketua kumpulan (SMKSB) Nisa Qistina Badrul Hisham, 17, berkata, idea menghasilkan bahan pencuci peribadi yang dinamakan Scrub Away itu tercetus apabila ahli pasukannya tampil dengan idea bagaimana memanfaatkan kulit telur yang biasanya dibuang begitu saja.

“Hasil perbincangan kami mengambil keputusan untuk menghasilkan produk berasaskan kulit telur.

“Kami nampak potensi kulit telur sebagai manik mikro selepas melakukan kajian dan eksperimen selama sebulan. Paling penting ialah kulit telur adalah bahan semula jadi.

“Hasil kajian dan eksperimen, kami dapati kebanyakan manik mikro yang ada di pasaran diperbuat daripada bahan plastik yang bukan semula jadi.

“Justeru kami nekad memanfaatkan kulit telur yang mesra alam,” katanya pada majlis penyampaian hadiah SI2TE 2018 di Kompleks Sirim di Hi-Tech di sini, semalam.

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Kedah, Datuk Norsabrina Mohd Noor dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Prof Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani.

Norsabrina berkata, pertandingan berkenaan perlu diteruskan bagi menggalakkan pelajar tampil dengan lebih banyak ciptaan unik dan berinovasi.

“Paling utama, reka cipta unik ini dapat diketengahkan untuk tujuan komersial dan dalam masa sama menjadi platform kepada peserta untuk berinteraksi dengan pihak yang mempunyai minat dalam industri berkaitan bagi tujuan pengkomersialan produk.

“SI2TE 2018 menerima 250 penyertaan berbanding hanya 180 tahun lalu.

“Sebanyak 14 penyertaan daripada sekolah rendah, 136 sekolah menengah dan 98 institusi pengajian tinggi termasuk kolej komuniti dan kemahiran tinggi dari seluruh negara.

“Ia peningkatan membanggakan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM),” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 3:50am
d