mutakhir

Kerja 'senang' sindiket tamak

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Kuala Lumpur: Kumpul kekayaan dengan hanya bermodalkan cap palsu menyerupai cap Keselamatan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Golok, Thailand dan ICQS Rantau Panjang, Kelantan.

Malah, sindiket pemalsuan pasport dan cap keselamatan ini mempunyai cap keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), cap Kedutaan Myanmar serta cap kerajaan Myanmar untuk memudahkan kegiatan.

Aktiviti itu dibongkar selepas Jabatan Imigresen Pahang menahan tiga lelaki warga Myanmar dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Kuantan, Pahang, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali berkata, dalam serbuan pertama di Kampung Belukar Baru, pihaknya memberkas dua suspek yang terbabit dalam sindiket pemalsuan cap keselamatan.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui cap ICQS Sungai Golok, Thailand dan ICQS Rantau Panjang,

“Turut dirampas lima pasport palsu Myanmar dan wang tunai RM5,107.

“Suspek melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(L) dan 55D Akta Imigresen yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM30,000, penjara tidak kurang lima tahun dan enam sebatan,” katanya dalam sidang media di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua di lokasi berhampiran pihaknya menahan seorang lelaki warga Myanmar terbabit dalam pemalsuan pasport dan merampas cap keselamatan KLIA, cop Kedutaan Myanmar serta cop kerajaan Myanmar

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 4:03am
d