mutakhir

Nafi akses komputer tanpa kebenaran [METROTV]

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

AHLI perniagaan wanita yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengakses komputer mengandungi fail mesyuarat kelab tanpa kebenaran, tiga tahun lalu.

Datuk Gee Siew Yee, 56, membuat pengakuan itu sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, Siew Yee didakwa melakukan capaian tanpa kuasa ke atas komputer milik Pengurus Teknologi Maklumat Kelab Taman Perdana Diraja Kuala Lumpur, Brian Periera, 32, dengan niat mendapatkan capaian terhadap tiga fail mesyuarat kelab itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kelab berkenaan di Dang Wangi di sini antara jam 8 pagi hingga jam 5 petang, 29 September 2015.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa, manakala tertuduh diwakili peguam R Ramesh Sivakumar.

Terdahulu, Noor Jazilah mencadangkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, namun Ramesh memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya bukan individu berisiko melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan Siew Yee yang juga ahli jawatankuasa pusat kelab itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu atau mengancam saksi pendakwaan, manakala sebutan semula kes ditetapkan 18 Mei ini.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 3:46pm
d