mutakhir

Sumbat lembu dalam Honda FD

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

MENYUMBAT masuk lembu dalam kereta, itu tindakan nekad empat lelaki yang cuba mencuri haiwan terbabit bernilai RM3,000 di Kampung Machang, Panching, Kuantan, pagi tadi.

Dalam kejadian 5 pagi itu, semua empat suspek yang terbabit berusia lingkungan 30 tahun bertindak menarik haiwan ternakan itu sebelum menyumbat ia masuk ke bahagian tempat duduk belakang kereta Honda FD dinaiki suspek.

Difahamkan, kejadian disedari pemilik ternakan itu berusia 58 tahun yang terserempak dengan kereta dinaiki suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan masuk ke dalam ladang mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung tangkapan dua suspek.

"Mangsa memanggil beberapa rakannya dan mengejar kereta suspek sejauh dua kilometer. Suspek gagal mengawal kereta yang dipandu lalu berhenti di tepi jalan sebelum dua daripada suspek yang duduk di belakang bersama lembu melarikan diri ke dalam semak," katanya.

Bagaimanapun, dua lagi suspek yang tidak sempat melarikan diri dibelasah penduduk kampung.

Katanya, dua suspek terbabit kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Panching, dekat sini untuk siasatan.

Beliau berkata, polis turut merampas kereta Honda FD yang dinaiki suspek.

Kereta itu pula didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Mohamad Noor berkata, kedua-dua suspek berasal dari Kota Gelanggi, Jerantut didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, polis mengklasifikasikan kejadian itu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana curi.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 5:19pm
d