mutakhir

Muhyiddin berdepan bapa, anak

Oleh Junita Mat Rasid

AHMAD Nawfal, anak Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed menjadi calon muda bertanding kerusi Parlimen di Johor apabila diumumkan bertanding di kerusi Pagoh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahmad Nawfal, 34, akan menentang Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempertahankan kerusi tradisinya ketika bersama Barisan Nasional (BN).

Nama Ahmad Nawfal, lulusan Ijazah Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA Malaysia (UiTM), diumumkan oleh Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Negeri Johor, Abdullah Husin, malam tadi.

Lebih menarik, bapanya, Mahfodz juga akan menentang Muhyiddin apabila diumumkan sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang turut ditandingi Muhyiddin.

Pada PRU-13, Mahfodz tewas dengan majoriti tipis 310 undi kepada calon BN, M Asojan dalam pertembungan empat penjuru membabitkan dua calon bebas di DUN Gambir.

Ahmad Nawfal adalah antara 51 calon baru daripada keseluruhan 61 kerusi yang ditandingi oleh PAS Johor dan beliau yang bertugas sebagai Timbalan Mudir Maahad Tahfiz al-Quran Al Muhammadi di Parti Medan, Tangkak, tidak asing dalam kalangan masyarakat Pagoh kerana sering membantu bapanya yang sebelum ini pernah bertanding di kerusi sama.

Gabungan bapa dan anak yang juga anak jati Parit Medan, di Tangkak, menentang Muhyiddin sudah pasti menjadi tumpuan khususnya bagi masyarakat kawasan itu.

Selain Mahfodz, tiga lagi calon PAS turut diumumkan bertanding di dua kawasan Parlimen dan DUN di Johor.

Calon Parlimen Kluang, Muhammad Hasbullah, 30, turut bertanding kerusi DUN Mahkota yang terletak di kawasan Parlimen yang sama.

Seorang lagi calon PAS yang bakal bertanding di dua kerusi serentak ialah Dr Mohd Mazri Yahya, 49, diumumkan bertanding di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Muar yang sebelum ini turut menjadi tumpuan apabila Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub juga mengumumkan mahu merebut kedua-dua kerusi terbabit.

Selain itu, Felo Akademik Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Dr Baharom Mohamad, 62, diumumkan bertanding di Parlimen Pontian dan DUN Pulai Sebatang.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 6:22pm
d