mutakhir

Apa hal kau tembak lembu?

Oleh Junaidi Ladjana

TINDAKAN seorang lelaki menembak mati tiga lembu peliharaan seorang penduduk di kawasan kebun Kampung Tuntumulud, Bingkor, Keningau mengundang padah apabila dia kini menjadi buruan polis.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Ahmad Jawila, berkata kejadian berlaku pada 13 April lalu apabila tiga lembu peliharaan seorang penduduk berkenaan ditembak mati oleh suspek dikenalinya.

“Kejadian itu hanya disedari selepas pemilik lembu terbabit dimaklumkan mengenai tiga lembu terbabit ditemui mati oleh penduduk kampung.

“Dia kemudian bergegas ke kebun milik suspek dan melihat tiga lembu termasuk dua daripadanya betina, mati dengan kesan tembakan.

“Pemilik itu mengecam tiga lembu ditembak mati itu miliknya berdasarkan tanda pada telinga haiwan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan kejadian itu, Ahmad berkata, pemilik haiwan ternakan itu membuat laporan polis, semalam.

“Kejadian itu menyebabkan pemilik lembu rugi RM9,000. Lawatan pegawai penyiasat ke lokasi kejadian menunjukkan ia adalah kawasan kebun betik, getah, lada dan pisang yang dipenuhi lalang.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu membabitkan perbuatan khianat terhadap ternakan dan polis kini sedang mengesan suspek yang dipercayai warga tempatan,” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 6:31pm
d