mutakhir

Buru lelaki tembak mati lembu

Oleh Junaidi Ladjana

TINDAKAN lelaki menembak mati tiga ekor lembu peliharaan seorang penduduk di kawasan kebun Kampung Tuntumulud, Bingkor, di sini, mengundang padah apabila dia menjadi buruan polis.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Ahmad Jawila, berkata kejadian berlaku pada 13 April lalu apabila tiga lembu peliharaan seorang penduduk berkenaan ditembak mati oleh suspek yang dikenalinya.

“Kejadian itu hanya disedari selepas pemilik lembu terbabit dimaklumkan mengenai kamatian tiga lembu terbabit oleh penduduk kampung.

“Dia kemudian bergegas ke kebun milik suspek dan melihat tiga ekor lembu dan dua daripadanya betina mati dengan kesan tembakan.

“Pemilik itu mengecam tiga lembu yang ditembak mati itu miliknya berdasarkan tanda pada telinga haiwan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan kejadian itu, Ahmad berkata, pemilik haiwan ternakan itu membuat laporan polis, kelmarin.

“Kejadian itu menyebabkan pemilik lembu mengalami kerugian RM9,000.

“Lawatan pegawai penyiasat ke lokasi kejadian menunjukkan ia adalah kawasan kebun betik, getah, lada dan pisang yang dipenuhi lalang,” katanya sambil menambah siasatan masih diteruskan dan polis sedang mengesan suspek yang disyaki warga tempatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu membabitkan perbuatan khianat terhadap ternakan

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 7:46pm
d