mutakhir

Rugi lebih RM1.25 juta

Oleh Mohd Hasbi Sidek

TIGA PULUH mangsa penipuan dengan jumlah kerugian keseluruhan lebih RM1.25 juta membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Sentul, Kuala Lumpur, hari ini, terhadap syarikat yang menawarkan pelaburan dengan pulangan luar biasa.

Syarikat berkenaan menawarkan pelbagai pakej yang memerlukan pelabur membuat bayaran sebelum memperoleh ‘mata ganjaran’ melalui aplikasi di telefon pintar.

Mata ganjaran berkenaan pula boleh digunakan untuk membayar pelbagai bil pelanggan termasuk boleh menjual semula prabayar kepada individu lain.

Tawaran tidak masuk akal berkenaan antara lain menjanjikan pulangan sehingga mencecah 65 peratus, selain meyakinkan mangsa bahawa syarikat berkenaan milik Bumiputera, menyebabkan ramai warga emas terpedaya sehingga sanggup mengeluarkan simpanan termasuk wang pencen masing-masing.

Pesara bomba, Arbaan Abdul Mokti, 61, berkata, dia mengeluarkan modal sebanyak RM150,000 daripada wang persaraannya selepas berminat dengan pelaburan berkenaan pada Jun 2016.

“Seorang rakan memperkenalkan pelaburan berkenaan dan ia cukup meyakinkan. Saya membuat pelaburan tujuh kali dengan jumlah keseluruhan RM150,000 menggunakan wang simpanan.

“Pada empat bulan pertama, pihak syarikat membayar pulangan seperti dijanjikan. Namun, bermula Disember mereka enggan membayar pulangan kepada kami dengan memberi pelbagai alasan, selain sistem aplikasi juga sudah tidak boleh digunakan, sedangkan duit saya sudah habis dilaburkan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Arbaan berkata, disebabkan itu, hasrat dia menunaikan ibadat haji mungkin terbantut dan kini dalam keadaan tertekan.

Bekas kakitangan FELDA dari Melaka, Zainal Aman, 62, pula berkata, dia melabur RM20,000 dalam skim berkenaan dan pelaburan itu membolehkannya memperoleh mata ganjaran.

“Saya tertarik dengan tawaran dijanjikan, malah syarikat itu milik Bumiputera. Saya mula melabur wang dari simpanan Tabung Haji sebanyak RM20,000,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Undang-undang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya sebelum ini beberapa kali cuba berunding dengan syarikat terbabit selepas mendapat aduan mangsa.

“Pihak syarikat berjanji menyelesaikan masalah ini dengan memberi pelbagai alasan, namun sehingga kini mereka tidak melangsaikan bayaran kepada pelabur.

“Justeru, hari ini kami membuat laporan polis beramai-ramai. Saya meminta polis menyiasat kes ini di bawah jenayah komersial dan bukannya tindakan saman sivil kerana pihak syarikat seperti ini tidak takut kepada saman sivil,” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 8:07pm
d