mutakhir

Pemimpin DAP angkuh - Zaid

Oleh Nur Lela Zulkipli

DAP tidak akan berjaya mendapat sokongan besar orang Melayu disebabkan keangkuhan pemimpin parti itu.

Ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim berkata demikian selepas menerima pelbagai kecaman berhubung kenyataan yang dimuat naik di laman Twitternya yang menimbulkan salah faham minggu lalu.

Dalam kenyataannya itu, Zaid berkata ‘parti Cina’ dalam Pakatan Harapan (PH) mengumumkan dua bakal menteri sementara parti Melayu pula berdiam diri dalam perkara ini.

Malah, beliau turut menyifatkan orang Melayu kebiasaannya malu untuk menyuarakan pendapat mereka dan perkara itu tidak pernah berubah.

Kenyataan Zaid itu dibuat selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming akan dilantik sebagai menteri jika PH berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat.

Lim juga pernah mengumumkan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong akan dilantik sebagai menteri ketika mengumumkan calon PH yang akan bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam.

Zaid dalam satu kenyataan di blognya berkata beliau sentiasa percaya kekurangan dalam hubungan politik Melayu-Cina mempunyai kaitan dengan ketidakseimbangan antara rasa hormat dan kemanusiaan.

“Kini, saya yakin kesombongan DAP tidak akan dapat meraih undi Melayu.

“Apa-apa pun saya berharap pemimpin DAP tidak akan memanjangkan perkara ini dan berhenti memberitahu masyarakat bahawa saya menolak kerusi yang ditawarkan. Saya juga tidak akan bercakap lagi mengenai perkara ini kerana ia bukan masalah negara yang perlu dibincangkan dengan lebih lanjut,” katanya.

Menurut Zaid lagi, ada individu yang bertanya kepadanya mengapa beliau kini bersikap rasis dan Tun Dr Mahathir Mohamad juga menuduh beliau sebagai oportunis selepas menyertai DAP untuk memastikan kedudukan yang selesa.

“Kedua-dua perkara adalah tidak benar dan hanya salah faham.

“Pertama, memanggil DAP sebagai parti Cina tidak sama dengan mengatakan DAP adalah parti rasis.

“Kadang-kadang, apabila kita menggambarkan Gerakan sebagai parti Cina atau UMNO sebagai parti Melayu, kita membuat penerangan yang sangat tepat tentang kedua-duanya.

“Memang benar bahawa Gerakan mempunyai beberapa ahli bukan Cina dan UMNO mempunyai beberapa orang Kadazan, tetapi secara etnik mereka sebahagian besarnya bersifat monolitik. Jadi, kenapa pula dengan memanggil DAP sebagai parti Cina boleh menyinggung perasaan?” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 11:23pm
d