mutakhir

Seremban jadi bandar raya, 2019.

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan malam ini merasmikan Prapelancaran Majlis Bandaraya Seremban (MBS) iaitu simbolik penggabungan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

Beliau berkata, MBS akan dimasyhurkan sebagai sebuah bandar raya pada Januari 2019, bersempena dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ke-71.

Katanya, penggabungan kedua-dua entiti itu dibuat lebih awal bagi melancarkan proses menubuhkan MBS.

“Saya berharap dengan penggabungan ini pentadbiran akan menjadi lebih cekap dan perkhidmatan kepada pelanggan juga cemerlang kerana MBS adalah impian kita selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis PraPelancaran Majlis Bandaraya Seremban di Dataran Nilai, hari ini.

Turut diadakan adalah gimik pelancaran logo MBS.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr Awaluddin Said; Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan dan Yang Dipertua MPS dan MPN, Datuk Abdul Halim Abdul Latif.

Ketika ini MPS beroperasi di Seremban, manakala MPN di Nilai serta beberapa kawasan di Seremban.

Bagaimanapun selepas ini, Unit Kewangan, Teknologi Maklumat (ICT) dan pengurusan MBS bakal beroperasi di Rahang, manakala unit kejuruteraan dan penguatkuasaan akan ditempatkan mengikut zon tertentu supaya lebih efektif.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pada tahun 2013 Kabinet sudah menawarkan status bandar raya kepada Seremban, namun beliau memohon penangguhan.

Katanya, banyak isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuk kemudahan awam serta memastikan falsafah merakyatkan penjawat awam dapat diterapkan.

“Sebab itu kita tangguh dulu kerana ketika itu belum sampai masa untuk jadikan Seremban sebagai bandar raya.

“Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini saya melihat perkhidmatan yang ditawarkan kedua-dua entiti ini amat baik sekali gus membolehkan MPS dan MPN menjadi MBS,” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 11:40pm
d