mutakhir

Gitaris kumpulan rock ambil dadah tertekan hidup susah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Tertekan dengan kehidupan sukar selepas tidak bergelar artis dan pengaruh rakan menjadi punca gitaris kumpulan rock era 90-an mengambil ganja.

Selain itu, dia turut memaklumkan perlu menjaga ibu yang menghidap penyakit buah pinggang menyebabkannya berdepan tekanan lalu mengambil dadah

Pengakuan itu dibuat lelaki berusia 43 tahun itu yang didapati positif dadah selepas ditahan di rumah keluarganya di Pantai Dalam di sini, kelmarin.

Gitaris itu itu ditahan dalam serbuan dilakukan anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Brickfileds bermula jam 10 pagi hingga jam 12 tengah malam.

Pengarah AADK Kuala Lumpur Tengku Hanizar Tengku Awang berkata, ujian saringan air kencing dijalankan terhadap suspek mengesahkan dia positif ganja.

“Dia ditahan ketika keluar dari lif menuju ke rumah sebelum diarahkan menjalani ujian saringan air kencing.

“Sebaik ditahan, dia mengaku mengambil dadah berkenaan sejak 12 tahun lalu dan tidak pernah ditahan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Tengku Hanizar berkata, gitaris terbabit antara 20 individu ditahan dalam serbuan di sekitar Pantai Dalam dan Petaling di sini.

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 5:37am
d