mutakhir

Jenazah isteri bekas MB Terengganu selamat dikebumi

Oleh Ruwaida Md Zain

JENAZAH isteri bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam, 10.30 pagi, hari ini.

Jenazah Allahyarham Puan Sri Aishahtun Mohd Fadlullah Suhaimi, 85, sebelum itu disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Desa Subang.

Arwah meninggalkan suami, lima anak termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar serta 22 cucu.

Wan Abdul Hakim ketika ditemui selepas pengebumian berkata, keluarganya reda dengan pemergian ibunya.

“Saya sangat rapat dengan arwah ibu, setiap minggu wajib balik jumpa ibu walaupun hanya beberapa jam,” katanya.

Beliau bersama bapanya, Wan Mokhtar serta keluarga tiba di tanah perkuburan terbabit kira-kira 10 pagi tadi.

Antara kenamaan yang hadir memberi penghormatan terakhir termasuk bekas Menteri Perusahaan Awam, Tan Sri Mohd Yusof Noor dan bekas pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor.

Aishahtun meninggal dunia kira-kira 6 petang semalam akibat sakit tua di kediamannya di Monterez Golf And Resort, Shah Alam.

Berita berkaitan

Isteri bekas MB Terengganu meninggal dunia

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 1:47pm
d