mutakhir

Mujur berteduh di sebalik penghadang

Oleh Ifwan Tun Tuah

SEKUMPULAN penunggang motosikal yang berteduh ketika hujan lebat di bawah jejambat di Kilometer 259 Lebuhraya PLUS di Seremban, hari ini, terselamat walaupun motosikal mereka rosak akibat dirempuh dua kenderaan yang terbabas.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 2 petang berhampiran susur keluar Plaza Tol Port Dickson itu, hanya seorang penunggang cedera manakala selebihnya tidak cedera kerana berteduh di sebalik penghadang jalan di bawah jejambat berkenaan.

Dianggarkan 12 motosikal terbabit dalam rempuhan itu sebahagian besarnya menyebabkan kerosakan teruk.

Seorang saksi mendakwa, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah kereta hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan merempuh beberapa motosikal yang berhenti berteduh di bawah jejambat ketika hujan lebat.

"Semua pemilik motosikal itu bernasib baik kerana berada agak jauh daripada motosikal mereka. Tapi motosikal yang dirempuh mengalami kerosakan teruk," katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 4:56pm
d