mutakhir

ETC di setiap daerah Selangor jika BN menang

Oleh Siraj Mohd Zaini

BARISAN Nasional (BN) berjanji menubuhkan Pusat Transformasi Usahawan (ETC) di setiap daerah di Selangor sekiranya diberi mandat menubuhkan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar berkata, penubuhan ETC itu bagi menggalakkan lebih ramai usahawan dibantu untuk diketengahkan sehingga berjaya.

Menurutnya, pusat berkenaan akan menempatkan pelbagai agensi kerajaan berkaitan bidang keusahawanan selain menyediakan khidmat sokongan dan bantuan kepada mereka yang ingin menceburkan diri.

“€œDengan adanya ETC ini di setiap daerah di Selangor, usahawan dan mereka yang mahu menjadi usahawan tidak perlu lagi pergi ke pelbagai tempat untuk mendaftarkan perniagaan atau bertanyakan pinjaman untuk perniagaan mereka, semuanya ada ditempatkan di sini.

“€œUsahawan juga akan diberikan bimbingan dan galakan, perkongsian dengan usahawan berjaya dan lain-lain lagi bentuk bantuan disediakan,” katanya kepada media selepas merasmikan ETC Shah Alam di Bangunan UMNO di Shah Alam, semalam.

Hadir sama Pengerusi ETC Selangor Datuk Waheeda Faruz.

Dalam pada itu, Noh berkata, penubuhan ETC ini mengambil contoh Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang ditubuhkan kerajaan dengan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan di bawah satu bumbung.

Katanya, ETC di Shah Alam ini antara contoh kerajaan BN mengambil berat dan mengotakan setiap janjinya dalam manifesto PRU-14.

“€œPenubuhan ETC ini antara janji dalam manifesto BN Selangor, dan berikutan kepentingan ETC terhadap usaha kerajaan untuk membantu dan menggalakkan generasi muda berniaga. BN Selangor mengambil keputusan untuk menubuhkan ia lebih awal,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 8:16pm
d