mutakhir

DAP gugur Jeff Ooi

Oleh Siti Sofia Md Nasir

DAP Pulau Pinang menggugurkan enam penyandang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN masing-masing dua Ahli Parlimen, dua EXCO, dan dua ADUN daripada senarai calon parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dua Exco dan dua Ahli Parlimen itu ialah Exco Pembangunan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Danny Law Heng Kiang; Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik dan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi.

Manakala dua ADUN terbabit ialah Lau Keng Ee (Pengkalan Kota) dan A Thanasekaran (Bagan Dalam).

Keputusan itu diumumkan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada Majlis Pengumuman Calon PRU-14 DAP negeri di Georgetown, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng diumumkan kekal bertanding di Parlimen Bagan dan DUN Air Putih pada PRU-14.

Selain itu, Chow akan bertanding di kerusi DUN Padang Kota dan di Parlimen Tanjong menggantikan Ng.

Parti itu akan meletakkan 19 calon di kerusi DUN dan tujuh calon di kerusi Parlimen pada PRU-14, 9 Mei ini.

Sementara itu, katanya, DAP negeri tidak akan menyerahkan senarai nama calon PRU-14 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan saringan.

“Tidak, kita rasa tidak perlu kita serahkan nama calon yang sudah dimuktamadkan ini kepada SPRM.

“Kita hanya membuat semakan melalui Jabatan Insolvensi sahaja bagi memastikan semua calon bebas daripada diisytihar muflis,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, mengesahkan hanya Barisan Nasion (BN) saja yang menghantar senarai calon untuk melalui proses tapisan SPRM bagi memastikan calon terbabit bebas daripada sebarang unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 9:18pm
d