mutakhir

181 lukisan berharga jadi rebutan

Oleh Saadiah Ismail

Kuala Lumpur: Sebanyak 181 koleksi lukisan gambar berharga bakal menjadi rebutan pembida pada satu majlis lelongan seni yang dianjurkan oleh Henry Butcher Art Auctioneers Malaysian and Southeast Asia.

Lelongan itu akan berlangsung pada 29 April ini di Galeri Prima bermula jam 1 tengah hari.

Pengarahnya Sim Polenn berkata, harga ditawarkan bermula serendah RM1,000 bagi memberi peluang kepada setiap lapisan pembida untuk memperoleh hasil seni lukisan berkenaan.

Beliau berkata, lukisan yang dilelong itu daripada pengumpul koleksi bukannya artis seni memandangkan kebanyakan lukisan berkenaan memiliki nilai yang tinggi.

“Setiap lukisan mempunyai nilai tersendiri. Jadi apabila pengumpul koleksi ini ingin menjual, jadi kami sebagai pelelong membuka platform untuk mereka.

“Ada antara lukisan paling mahal ditawarkan iaitu dari Awang Damit Ahmad bertajuk Iraga Perjalanan Utara yang mana harganya boleh mencecah hingga RM180,000.

“Selain itu lukisan hasil Abdul Latiff Mohidin bertajuk Serangga yang dijual pada harga RM180,000,” katanya.

Katanya, bagi memberi peluang kepada setiap pembida, lukisan gambar dilelong itu juga adalah hasil daripada pelukis muda selain pelukis terkemuka.

Disiarkan pada: April 22, 2018 @ 5:43am
d