mutakhir

Mujur cepat keluar kereta

Oleh Junaidi Ladjana

DUA sahabat terselamat selepas sempat keluar dari kereta yang terbakar dan meletup di Jalan Lintas Jaya berhadapan Open University Malaysia (OUM), Kota Kinabalu, pagi tadi.

Dalam kejadian 5.40 pagi itu, pemandu lelaki kereta Perodua Alza dan rakannya yang juga lelaki masing-masing berusia 20-an dipercayai dalam perjalanan pulang ke arah Kepayan, sebelum kereta berkenaan terbabit kemalangan dengan kereta Hyundai.

Akibat kejadian itu, kereta Perodua Alza terbakar 100 peratus manakala dua lelaki yang berada di dalam kereta sempat keluar.

Pemandu kereta Hyundai, lelaki berusia 68 tahun hanya cedera di bahagian bahu dan di hantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan 5.44 pagi, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikejarkan ke lokasi kemalangan.

"Sebaik tiba, operasi pemadaman api dijalankan membabitkan kereta Perodua Alza yang terbakar.

"Api berjaya dipadam sepenuhnya 6.06 pagi dan kereta berkenaan terbakar 100 peratus," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera di hantar menggunakan kenderaan awam ke HQE 1 untuk rawatan lanjut.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: April 22, 2018 @ 11:32am
d