mutakhir

Lepas tiga das tembakan...

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PENIAGA dan isterinya ketakutan apabila seorang lelaki yang tidak dikenali melepaskan tiga das tembakan ke arah kereta dinaiki mereka di persimpangan lampu isyarat di Seremban Prima, di Seremban, semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pada kejadian 6.30 petang itu, mangsa berusia 46 tahun dan isteri, 40-an menaiki kereta jenis BMW dari Kuala Sawah, Rantau menghala ke Seremban.

Katanya, sebaik berhenti di lampu isyarat, seorang lelaki 20-an yang menaiki sebuah motosikal menghampiri kenderaan mangsa lalu melepaskan tiga das tembakan di bahagian belakang kereta itu.

"Lelaki itu yang memakai jaket hitam berhenti di sebelah kiri kereta dan mangsa ternampak individu terbabit memegang sepucuk pistol. Suspek kemudian beredar dalam keadaan jalan sesak dan hujan lebat," katanya.

Noor Azam berkata, susulan kejadian, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat tiga kesan tembakan di bahagian belakang kenderaan mangsa.

"Siasatan mendapati mangsa adalah pemilik sebuah syarikat import kepala lori, sejak 2009 dan mempunyai rangkaian bersama beberapa syarikat lain. Mangsa memberitahu tidak berdepan sebarang masalah sejak perniagaan itu diusahakan," katanya.

Menurut Noor Azam, isteri mangsa juga memberitahu suaminya gemar melakukan kerja amal dan menderma kepada mereka yang memerlukan.

"Polis masih menjalankan siasatan terperinci dari pelbagai sudut. Kita akan mengenal pasti sama ada punca kejadian disebabkan masalah perniagaan, hutang, dendam dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Disiarkan pada: April 22, 2018 @ 2:25pm
d