mutakhir

Budak 2 tahun lemas bawah titi

Oleh Mohd Rizal Abdullah

SELEPAS dua jam mencari, luluh hati seorang ibu apabila menemui anak perempuan kesayangannya lemas di bawah titi, berhampiran rumah mereka di Limbang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Ava Arora Jimmy, 2, dilaporkan hilang ketika bermain di kawasan luar rumah panjangnya di Jalan Skubong, sebelum gerakan mencari dan menyelamat dilancarkan oleh jiran mereka.

Bagaimanapun, kanak-kanak malang itu ditemui lemas selepas dipercayai terperangkap di bahagian bawah rumah panjang berkenaan yang dipenuhi air banjir.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata mangsa kemudian dikejarkan ibunya ke Hospital Limbang dan disahkan meninggal dunia akibat lemas.

Katanya, siasatan mendapati mangsa yang masih merangkak itu sedang bermain di ruang tamu seorang diri dengan keadaan pintu utama terbuka.

“Mangsa kemudian dipercayai terjatuh ke bawah rumahnya yang dipenuhi air akibat banjir kilat tanpa disedari ibunya berusia lingkungan 30-an.

“Kehilangan mangsa hanya disedari ibunya pada jam 3.30 petang sebelum operasi mencari dilakukan penduduk kampung,” katanya.

Katanya, mangsa kemudian ditemui ibunya dan penduduk kampung dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah titi menuju ke rumahnya.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Disiarkan pada: April 22, 2018 @ 4:14pm
d