mutakhir

'Sampai hati ibu buang saya'

Oleh Nasrawati Syarifuddin

BAYI perempuan ditemui masih hidup dalam keadaan berbalut dengan tuala di depan pagar Masjid Kampung Check Point, Batu 38, Jalan Apas, Tawau, pagi tadi.

Bayi yang dipercayai baru dilahirkan kerana masih bertali pusat itu ditemui wanita yang juga peniaga nasi lemak berusia 36 tahun ketika hendak memulakan perniagaannya di kawasan berkenaan pada 7.40 pagi.

Wanita itu menemui objek mencurigakan diletakkan di atas sejadah di depan pagar masjid berkenaan sebelum mendapati ia adalah bayi perempuan yang masih hidup.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata melihat keadaan bayi yang hanya berbalut dengan tuala itu, peniaga terbabit segera menghubungi polis sebelum membawa bayi itu ke Hospital Tawau.

“Pemeriksaan awal pegawai perubatan mendapati bayi seberat 2.75 kilogram itu dipercayai baru dilahirkan tidak sampai 24 jam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadil berkata, pegawai perubatan juga mengesahkan bayi itu tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal dan kini berada dalam keadaan sihat dan stabil.

“Menurut doktor bayi akan ditempatkan di Wad CMW Pediatrik, Hospital Tawau untuk pemerhatian dan rawatan selanjutnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana buang bayi,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 2:13pm
d