mutakhir

MA63: BN jamin hak Sabah, Sarawak

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, janji Barisan Nasional (BN) untuk melaksanakan hak Sabah dan Sarawak yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar manifesto atau kerana desakan pembangkang.

Sebaliknya, beliau berkata, ia adalah bukti kesungguhan Kerajaan Pusat dan negeri dalam menunaikan hak Sabah dan Sarawak, malah kebanyakan hak yang terkandung dalam MA63 sedang dilaksanakan.

“Contohnya dasar 90 peratus guru dari Sabah dan Sarawak kini hampir terlaksana, malah soal minyak dan gas juga dimasukkan dalam manifesto BN selepas dibawa kepada Kabinet dan diterima Perdana Menteri.

“Apa yang berlaku sekarang pembangkang harus mengakui bahawa tohmahan mereka berkaitan MA63 tidak lagi laku kerana ia sudah dilaksanakan kerajaan Pusat dan negeri,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Kimanis di pekan Bongawan, Kimanis, hari ini.

Turut hadir, Menteri Luar yang juga Pengerusi BN Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin; Timbalan Pengerusi BN Kimanis, Datuk Mohd Ariffin Arif dan Naib Pengerusi BN Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

Ahmad Zahid berkata, janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk mengembalikan apa yang terambil dalam tempoh 22 tahun pentadbiran oleh Perdana Menteri terdahulu, membuktikan keprihatinan kerajaan memastikan kandungan MA63 harus dilaksanakan.

“Jika ada yang terlepas pandang atau tidak diselesaikan, Perdana Menteri akan cari jalan menyelesaikannya, malah beliau melantik Anifah untuk mewakili Kerajaan Pusat bagi mengkaji perkara yang terambil atau terlepas pandang,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, rakyat Kimanis harus berbangga dengan pencapaian Anifah sebagai antara Menteri Luar disegani di peringkat antarabangsa berikutan komitmennya menyuarakan pendirian Malaysia dalam pelbagai isu penting termasuk berkaitan Palestin dan Rohingya.

Katanya, Anifah adalah tokoh Kimanis yang tidak jemu memperjuangkan isu antarabangsa walaupun ia tidak berkaitan secara langsung dengan negara dan terpaksa mengenepikan keluarga demi menghadiri persidangan luar negara.

“Pernah suatu ketika isterinya sakit tetapi beliau tetap ke luar negara demi mewakili Malaysia. Disebabkan banyak di luar negara, kita faham rakyat Kimanis ada yang kecil hati tetapi kita tidak biar kawasan ini. Kita tetap bawa pembangunan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau yakin sokongan padu rakyat Kimanis memastikan kawasan ini terus kekal dimenangi BN walaupun terpaksa berdepan tentangan pembangkang termasuk bekas pemimpin BN sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya akan datang kembali ke sini untuk membawa peruntukan bagi memenuhi keperluan rakyat apabila menang nanti, lagi besar majoriti lagi bagus. Oleh itu, saya mahu majoriti di Kimanis ditingkatkan kepada 10,000, manakala 7,000 di Bongawan dan 5,000 lagi di Membakut,” katanya.

Pada pilihan raya lalu, majoriti BN di Kimanis ialah 5,453, manakala 5,730 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan dan 3,499 di DUN Membakut.

Pada majlis itu Ahmad Zahid turut menyampaikan cek peruntukan untuk pembaikan gereja di kawasan Parlimen Kimanis.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 2:34pm
d