mutakhir

Mulia sungguh hatimu...

Oleh Nur Syazwana Mansor

NIAT murni warga emas cuba menghalang kebakaran di rumahnya daripada merebak ke kediaman jiran berakhir tragedi apabila dia maut akibat terkena renjatan elektrik, hari ini.

Dalam kejadiaan pada 10 pagi di Kampung Singkir Darat, Yan, mangsa Ghazali Din, 62, maut di tempat kejadian akibat terkena renjatan elektrik sewaktu cuba menarik kabel elektrik di luar rumahnya.

Jiran mangsa Fadzil Abdul Hamid, 52, berkata ketika kejadian Ghazali bersama isteri serta tiga anak perempuannya sudah keluar dari rumah mereka bagi menyelamatkan diri.

Katanya, jiran-jiran berdekatan semua keluar dari rumah masing-masing selepas mendapati dapur rumah mangsa terbakar.

“Ketika kejadian saya sedang berada di gerai makan di seberang jalan, dan sebaik sahaja melihat api dari arah rumah sepupu saya itu, saya bergegas pulang bagi melihat keadaan mereka.

“Bagaimanapun, mereka sudah berada di luar rumah dan ketika itu mangsa sibuk mengeluarkan barang serta dokumen penting miliknya dan ahli keluarga,” katanya.

Menurutnya, mangsa mencapai paip air untuk mengawal api yang merebak, sementara menanti bantuan daripada pihak bomba.

“Ghazali kemudian menyuruh saya membuka paip air berdekatan, sementara dia memegang getah paip terbabit.

“Dalam keadaan panik, saya hanya menurut sahaja permintaan dia, dan sebaik sahaja pili air dibuka saya terdengar suara jeritan ahli keluarga mangsa melarang dia daripada melakukan sesuatu.

“Saya bergegas ke arah mangsa untuk melihatnya dan mendapati mangsa sudah terbaring tidak sedarkan diri akibat terkena renjatan elektik, dengan kabel elektrik yang terbelit pada bahunya,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian meelarang ahli keluarga lain untuk menghampiri mangsa kerana bimbang mereka juga akan terkena renjatan elektrik sementara menunggu bantuan pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan Penolong Penguasa Bomba Fauzi Shuaib berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 10.27 pagi.

Menurutnya, seramai enam anggota dari BBP Yan bergegas ke lokasi dengan dibantu anggota BBP Sungai Petani, serta anggota bomba sukarela dari Tangjung Dawai, Sungai Limau dan Bedong.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati api sedang marak 70 peratus di rumah Kelas B manakala terdapat mangsa yang juga pemilik rumah sudah meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik di luar rumah.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan oleh pihak polis bagi bedah siasat,” katanya.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 3:57pm
d