mutakhir

Pecah masuk premis proses emas

Oleh Farah Suhaidah Othman

Empat lelaki bertopeng memecah masuk premis memproses emas sebelum melarikan barangan kemas dan wang tunai berjumlah RM19,000 dalam kejadian di Jalan Pasir Putih, Ipoh, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pemilik premis berusia 55 tahun menyedari kejadian itu selepas rakan kongsinya memaklumkan premis itu dimasuki individu tidak dikenali pada 4.23 pagi.

Katanya, susulan itu anggota polis menjalankan pemeriksaan di lokasi dan mendapati siling dan bumbung premis berkenaan dipecahkan.

“Siasatan awal mendapati suspek memasuki premis berkenaan menerusi bumbung di bahagian belakang sebelum memecahkan siling dan memasuki ruang pejabat di tingkat bawah premis itu.

“Pemeriksaan terhadap rakaman CCTV (kamera litar tertutup) mendapati suspek dipercayai seramai empat orang dan belum dikenal pasti berikutan semuanya memakai topeng,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ali berkata, hasil pemeriksaan mendapati beberapa barang kemas di premis itu hilang.

Beliau berkata, antara yang dilarikan termasuk sebuah peti mengandungi wang tunai RM5,246 dan tiga utas gelang tangan seberat 47 gram (g).

“€œTurut dilarikan, barang kemas milik setiausaha pemilik premis iaitu tiga utas rantai leher 25.35g, tiga loket emas seberat tujuh gram dan dua bentuk cincin seberat lapan gram dan sepasang anting-anting seberat 4.05g.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 6:58pm
d