mutakhir

Polis terima 10 laporan khianat bendera

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

POLIS menerima 10 laporan berkaitan perbuatan khianat mencabut dan merosakkan bendera parti di Terengganu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, semua laporan itu diterima pihaknya selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 9 April lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, satu kertas siasatan dibuka untuk siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api manakala selebihnya adalah laporan biasa.

“Kes siasatan dibuka membabitkan kejadian di Dungun pada 12 April lalu apabila bendera daripada sebuah parti dibakar dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab.

“Setakat hari ini, tiada tangkapan dibuat memandangkan perbuatan mencabut dan merosakkan bendera ini dilakukan pada waktu malam dan tiada saksi yang melihat kejadian berkenaan.

“Secara keseluruhannya, keadaan di negeri ini masih terkawal namun kita menasihatkan semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi termasuk mencabut dan merosakkan bendera parti politik kerana ia boleh menyebabkan kekacauan,” katanya ketika ditemui selepas Program Community Policing Ketua Polis Terengganu Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-211 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, hari ini.

Pada program itu, Aidi bersama warga kerja Kontinjen Terengganu melawat 21 pesakit termasuk dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 16 kanak-kanak yang dirawat di HSNZ.

Mengenai persiapan polis sempena penamaan calon pada Sabtu ini, Aidi berkata, pihaknya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku sepanjang PRU-14.

“Kita sudah kenal pasti beberapa kawasan panas dan kawalan keselamatan akan dipertingkatkan selain memastikan penyokong parti tidak bertembung di laluan sama bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 8:54pm
d