mutakhir

Saya akan terus berceramah - Syamsul Debat

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin; Nur Aqidah Azizi and Raja Noraina Raja Rahim

“SAYA akan terus berceramah, dalam masa sama sebagai wakil rakyat, Insya-Allah sudah tentu tumpuan akan diberikan kepada masyarakat di kawasan saya,” kata penceramah bebas, Syamsul Amri Ismail, 41, yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Negeri Sembilan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Syamsul Debat antara 22 calon muka baharu yang diumumkan BN Negeri Sembilan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) oleh Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan di kediaman rasmi di Seremban, hari ini.

Syamsul yang juga anak jati Negeri Sembilan itu perlu menggalas tanggungjawab besar apabila dipilih untuk merebut kerusi DUN Sikamat yang disandang Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama dua penggal.

Ketika ditemui, Syamsul melahirkan keyakinan bahawa kekuatannya sebagai penceramah bebas akan memberi kelebihan kepada BN untuk merampas semula kerusi berkenaan.

“Alhamdulillah, atas sokongan Menteri Besar, pemimpin tempatan dan rakan, saya dipilih menjadi calon BN di DUN Sikamat dan inilah masa untuk saya bekerja kuat untuk memastikan kemenangan BN.

“Sudah tentu ia tugas yang amat berat, dengan mandat yang diberikan ini saya akan menjalankan tanggungjawab dengan amanah. Seperti mana hadis tidak beriman orang yang tidak menjaga amanah dan tidak beragama orang yang tidak melaksanakan janji,” katanya.

Beliau berjanji akan berusaha mendekati masyarakat terutama anak muda untuk memberi penjelasan dan meyakinkan mereka supaya terus menyokong BN.

Syamsul yang terpalit dengan kontroversi peribadi selepas ada laporan polis mendakwa beliau mempunyai skandal dengan isteri orang menegaskan akan memperbetulkan persepsi masyarakat mengenai dirinya.

“Macam-macam tohmahan ke atas saya. Tetapi saya akan mendekati masyarakat untuk menangkis persepsi dan memperbetulkannya bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat yang sebenar. Begitu juga dengan isu lain yang membabitkan parti.

“Kepesatan teknologi terutama dalam penyebaran maklumat di media sosial menjadi cabaran, tetapi saya akan berusaha menjawab segala isu yang ada,” katanya.

Sebagai calon baharu, beliau berharap masyarakat di kawasan Sikamat dapat menerima dirinya dan memberi peluang untuknya membuktikan keupayaan sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 9:01pm
d