mutakhir

Ibu tunggal berdepan tiga tuduhan jenayah

Oleh Nur Saliawati Salberi

SEORANG ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan khianat, ugutan jenayah dan mencederakan seorang wanita, dua tahun lalu.

Roslina@Azrina Haron, 47, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan memecahkan tiga pasu bunga di hadapan rumah seorang wanita berusia 25 tahun.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Wanita itu didakwa atas pertuduhan kedua melakukan ugutan jenayah dengan menunjukkan pisau kepada individu sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera di bahagian muka individu sama dengan menggunakan telefon.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pantai Kundor, Tanjung Kling, Melaka, kira-kira jam 9.50 malam, pada 23 Julai 2016.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lee Wai Yi mencadangkan kepada mahkamah supaya tertuduh dihantar ke Hospital Permai untuk menjalani rawatan psikiatri selama sebulan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu supaya dibebaskan dengan jaminan rendah atas alasan menjaga seorang anak berusia sembilan tahun, selepas bercerai.

Mahkamah kemudian memerintah tertuduh dihantar ke Hospital Permai.

Lee turut menetapkan 23 Mei depan untuk tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 9:07pm
d