mutakhir

Kayuhan solidariti bantu Fifi raih RM12,000

Mukah: Kisah Nurlyana Syafina Mohamad Adika, 8, anak yatim piatu yang lumpuh separuh badan susulan kemalangan jalan raya terus mendapat perhatian pelbagai pihak.

Kisah keperitan hidupnya yang dipaparkan kumpulan akhbar New Straits Times Press (NSTP) sejak sebulan lalu turut mendorong penganjur Mukah Jamboree 2018 mengadakan program kutipan dana untuk kanak-kanak berjiwa kental itu.

Ia termasuk Program Kayuhan Solidariti 2018 membabitkan jarak 90 kilometer membabitkan laluan Mukah - Dalat - Mukah, di sini semalam dengan keseluruhannya 219 peserta menyertainya termasuk 29 peserta Brunei Darussalam, sekali gus menyaksikan RM12,000 berjaya dikumpulkan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, program kebajikan itu memberi semangat kepada kanak-kanak berkenaan terus mendepani cabaran mendatang.

“Bagi saya, setiap pusingan kayuhan itu dilihat sebagai simbol semangat adik Fifi yang cukup kental mengharungi kehidupan di sebalik kekurangan pada dirinya, begitu juga tragedi menimpa keluarganya.

“Malah, ikhtiar yang kita lakukan ini adalah satu amal jariah, selain memperlihatkan betapa prihatinnya masyarakat kita untuk saling membantu sesama kita,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Menurutnya, bantuan dan dana yang diraih melalui aktiviti amal seperti itu mendidik masyarakat untuk bersikap mengambil peduli terhadap golongan tidak bernasib baik.

Beliau turut menyatakan sebarang bentuk program seperti itu sentiasa mendapat sokongan daripada kementeriannya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Mukah Jamboree 2018, Jamil Othman berkata, pihaknya akan terus memberikan sokongan terhadap adik Fifi dan bakal merancang edisi kayuhan seterusnya pada masa depan.

“Ini edisi ketiga dan jika tiada aral melintang, tahun depan kita akan lakukannya semula,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 3:50am
d