mutakhir

Nahas ragut nyawa dua penunggang

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Dua penunggang motosikal termasuk pelajar maut dalam dua kemalangan berasingan di Jalan Bertam Setia, Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) dan Jalan Alor Gajah Lama, Durian Tunggal, di sini, malam kelmarin.

Mangsa, M Dinesh Kumar, 22, dan Muhammad Haikal Misran, 16, masing-masing maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, siasatan mendapati Dinesh yang menunggang motosikal Yamaha 125ZR dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dipandu lelaki berusia 48 tahun.

“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Sungai Udang menghala lampu isyarat Taman Paya Emas.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa bertembung dengan Proton Exora terbabit yang datang dari arah bertentangan,” katanya.

Dalam kejadian berasingan pada jam 10.05 malam, Mohd Sham berkata, Muhammad Haikal yang menunggang motosikal LC135 dipercayai bersaing bersama rakannya dan memotong kenderaan lain di garisan berkembar.

“Hasil keterangan diambil daripada pemandu kereta terbabit, mangsa dalam perjalanan dari Durian Tunggal menghala ke Alor Gajah bersama beberapa rakannya.

“Kemalangan berlaku apabila pemandu Toyota Vios tidak sempat mengelak mangsa yang memotong Perodua Kancil dari arah sama menyebabkan pertembungan berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka dan Alor Gajah untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 3:59am
d